LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Arne Slot mengingatkan barisan pemainnya agar tidak leka dan terlalu dibuai kejayaan memandangkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini masih belum secara rasminya menjadi milik mereka.
Ia susulan kelebihan besar dimiliki Liverpool sebagai pendahulu liga dengan jurang 11 mata ke atas pencabar terdekat di tangga kedua, Arsenal ketika saingan masih berbaki 11 perlawanan lagi untuk tamat.
Justeru, Slot menggesa The Reds yang menewaskan juara bertahan, Manchester City 2-0 kelmarin, mengekalkan momentum semasa dengan menumbangkan satu lagi lawan sukar, Newcastle United di Anfield awal pagi esok.
“Kelebihan ini mungkin membuatkan anda selesa jika beraksi di liga lain tetapi bukan di sini (EPL). Kami berada dalam kedudukan selesa tetapi setiap pasukan adalah sukar.
“Sekarang kami akan beraksi menentang Newcastle yang mana kami seri 3-3 di laman mereka. Pada pandangan saya, ia satu keputusan yang bagus tetapi amat menyukarkan.
“Jadi kami perlu terus bekerja keras dan kekalkan momentum ini dalam tempoh tiga bulan terakhir. Tiada jalan pintas walaupun kami berkelebihan 11 mata ke atas Arsenal,” katanya.
Sebagai rekod, gol Mohamed Salah dan Dominik Szoboszlai ke atas City membolehkan Liverpool mengumpul 63 mata, manakala Newcastle berada di tangga kelima susulan kemenangan 4-3 ke atas Nottingham Forest kelmarin.
Seandainya menang ke atas Newcastle, ia pastinya memberikan suntikan semangat terbaik kepada Liverpool yang akan berdepan lawan seterusnya, Paris Saint-Germain (PSG) di pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada 6 Mac ini. – AGENSI