fbpx

Lelaki warga emas didakwa bunuh isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hee Heng ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang, hari ini. - Foto oleh IQBAL ROSLI / KOSMO!

KAJANG – Seorang lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya di sebuah rumah dekat Bandar Sungai Long di sini minggu lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Tan Hee Heng, 66, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Hafzan Ab. Aziz berikutan kes bunuh berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah membunuh Lee Lai Peng, 63, di sebuah rumah di Taman Bukit Palma, Sungai Long di sini antara pukul 3.30 pagi hingga 5.19 pagi pada 21 Februari lalu (2025).

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ain Mohd. Sabirin, manakala tertuduh diwakili peguam Y.S Ling.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Mac ini bagi sebutan semula kes selain pada tarikh itu mahkamah mendengar permohonan pihak pembelaan berhubung rawatan untuk tertuduh dirujuk ke psikiatri.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang lelaki cuba mengelar tangannya sendiri dengan pisau selepas disyaki membunuh isterinya di sebuah rumah dekat Bandar Sg. Long, di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian sekitar pukul 5.32 pagi daripada anak lelaki mangsa yang berusia 35 tahun.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, pihak polis telah ke lokasi kejadian bersama pasukan forensik bagi menjalankan siasatan.

Naazron berkata, hasil pemeriksaan mendapati mangsa seorang wanita tempatan berusia 63 tahun ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di dalam bilik tidur dan disahkan meninggal dunia.

“Senjata pisau yang digunakan dalam kejadian ini telah dirampas bersama beberapa barang kes lain bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Ekoran kejadian itu, suspek lelaki yang juga suami kepada mangsa berusia 65 tahun telah ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI