GEORGE TOWN – Negara-negara ASEAN perlu menjalin kerjasama serantau yang lebih kukuh bagi menangani cabaran keselamatan semakin kompleks dan merentasi sempadan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rantau ASEAN menghadapi ancaman keselamatan tradisional dan bukan tradisional yang tidak dapat ditangani oleh satu negara sahaja.
Katanya, dengan cabaran keselamatan daripada pelaku bukan negara serta risiko biosekuriti yang semakin meningkat, ASEAN mesti meningkatkan kesiapsiagaan dan kerjasama bagi menangani cabaran ini secara berkesan.
“Pada masa yang sama, strategi keselamatan kita mesti mampan, dengan memanfaatkan pendekatan jangka panjang dan berpandangan ke hadapan dalam kerjasama pertahanan bagi mengekalkan kestabilan serantau untuk generasi akan datang,” katanya dalam ucapan pembukaan sempena Pemukiman Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-19 di Batu Ferringhi, di sini hari ini.
Dalam ucapan pembukaan tersebut, Mohamed Khaled turut membentangkan enam usul Malaysia selaku Pengerusi ADMM tahun ini.
Usul itu melibatkan kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber dalam pertahanan, keselamatan maritim, bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana (HADR), termasuk mencari dan menyelamat (SAR), kerjasama industri pertahanan, ancaman keselamatan daripada pelaku bukan negara dan risiko biosekuriti.
Dianggarkan lebih 150 delegasi dari 10 negara ASEAN serta Timur Leste selaku negara pemerhati menghadiri sesi ADMM ke-19 itu. – KOSMO! ONLINE