fbpx

JDT mahu lengkapkan triple quadruple

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain JDT meraikan kejayaan menewaskan Perak sekali gus mengesahkan gelaran ke-11 Liga Super. - RAJA JAAFAR ALI

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio tidak dapat mengungkapkan kegembiraannya setelah membantu pasukan bergelar juara Liga Super buat musim ke-11 berturut-turut selepas menewaskan Perak FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim malam kelmarin.

Bidoglio puas kerana dapat membalas kepercayaan diberikan pemilik kelab, Tunku Mahkota Ismail selain menghadiahkan penghargaan buat para peminat yang sentiasa berdiri teguh di belakang pasukan selama ini.

Menurut Bidoglio, Harimau Selatan mempamerkan prestasi sangat baik musim ini baik dalam saingan domestik mahupun perjalanan kelab menempuh kejohanan terkemuka Asia, Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE).

“Seperti selalu saya katakan, JDT adalah satu pasukan yang besar dan tidak akan henti-henti bekerja keras untuk menjadi lebih baik. Ini tanggungjawab perlu kami pikul untuk memastikan lebih banyak kejuaraan datang bergolek.

“Gelaran juara Liga Super ini penting buat kami, ia adalah hasil titik peluh pemain yang memberikan 100 peratus di atas padang, kekal disiplin dan beraksi di tahap tinggi dalam setiap perlawanan,” katanya.

JDT berada di landasan tepat untuk melakar sejarah memenangi ‘triple quadruple’ setelah memenangi Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super musim ini.

Skuad Harimau Selatan itu akan berdepan Sri Pahang FC pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 12 April depan bagi melengkapkan gelaran tersebut.

Biarpun sudah bergelar juara, Bidoglio enggan pemain memandang mudah baki empat aksi Liga Super, sebaliknya menuntut pemain memberikan aksi terbaik bagi memburu kemenangan.

“Walaupun sudah mengesahkan kejuaraan, ia tidak mengubah apa-apa kerana JDT tetap turun bermain bermati-matian seperti aksi final. Misi kami untuk menang semua perlawanan liga.

“Ini tidak bermakna saya akan beri minit permainan kepada pemain tertentu sesuka hati. Jika dia layak diturunkan, saya akan gunakan, hanya pilih yang terbaik untuk kelab,” ujarnya.

JDT akan berdepan Penang FC pada 16 Mac depan diikuti Kedah Darul Aman FC (29 Mac), Kelantan Darul Naim FC (4 April) dan Kuching City FC (13 April).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI