TANAH MERAH – Mayat kanak-kanak yang hilang selepas 72 jam, Hud Aryan Mohd. Nor Hafifi ditemui selepas laungan azan semasa operasi mencari mangsa dijalankan oleh polis dan anggota di kawasan Sungai Kerilla di sini.
Ibu saudara mangsa, Azean Suhaili Sisiliawati Ramley, 42, berkata, dia berada di atas bot bersama pasukan menyelamat semasa mayat Hud Aryan yang berusia setahun tujuh bulan itu dijumpaI.
“Anggota penyelamat melaungkan azan beberapa kali ketika menyusuri sungai berkenaan. Tidak lama kemudian, pasukan yang berada di lokasi lain telah menghubunginya dan memaklumkan bahawa mayat Hud Aryan ditemui.
“Saya tidak tahu macam mana untuk menggambarkan perasaan sebaik sahaja dimaklumkan mengenai penemuan mayatnya. Allah SWT pinjamkan Hud Aryan selama 19 bulan kepada keluarganya. Kami sekeluarga reda dengan kejadian ini,” katanya.
Azean Suhaili berkata, dia sempat menatap jenazah anak saudara dan mayatnya masih lengkap berpakaian.
Katanya, jenazah Hud Aryan ketika ini masih berada di Unit Forensik Hospital Tanah Merah dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kuala Tiga, kira-kira pukul 11 malam ini. – KOSMO! ONLINE