fbpx

ICW, BuildXpo 2025 sasar jualan RM700 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azman (tengah) bersama Yusuf (dua dari kiri) ketika majlis pra-pelancaran Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) dan BuildXpo Asean 2025 di MITEC. - Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) dan Pameran Industri Bangunan dan Pembinaan Antarabangsa Malaysia (BuildXpo) menyasarkan unjuran jualan sebanyak RM700 juta pada tahun ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Azman Ibrahim berkata, buat julung kalinya pameran tersebut diperluaskan di Sarawak dengan penganjuran ICW Borneo 2025 yang akan berlangsung pada 13 dan 14 Mei depan di Pusat Konvensyen Kuching, Sarawak.

Beliau berkata, dengan membawa tema Pembinaan Inovatif untuk Masa Depan Mampan, ICW Bornoe menumpukan pembangunan pesat yang berlaku di Sarawak, Sabah dan seluruh Borneo.

“Itu terdiri daripada projek pembinaan mega memacu matlamat pembangunan mampan Malaysia dan ASEAN; contohnya, pembangunan untuk projek infrastruktur utama dan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi di Malaysia Timur.

“Edisi khusus ini akan memainkan peranan penting dalam memupuk pembangunan serantau dan mengukuhkan sektor pembinaan Malaysia di peringkat nasional dan ASEAN,” katanya ketika berucap pada Majlis Pra-pelancaran ICW dan BuildXpo 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Ir Yusuf Abd Wahab berkata, pameran berkenaan yang turut akan berlangsung di MITEC pada 28 hingga 30 Oktober itu menyasarkan seramai 17,000 pengunjung bagi kedua-dua pameran.

“Pada tahun ini, kita turut menyasarkan kira-kira 200 pempamer dari sembilan negara akan menyertai pameran ini berbanding tahun lalu di mana kira-kira 175 pempamer telah terlibat.

“Meskipun jumlah pempamer yang menyertai pameran ini belum dimuktamadkan, tetapi yang pasti, ia akan lebih daripada apa yang kami capai tahun lepas,” katanya.

Katanya, salah satu sorotan utama ICW & BuildXpo 2025 ialah Program Penyumberan Antarabangsa, yang dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

“Inisiatif ini akan menghimpunkan pembeli dari seluruh dunia, menawarkan peluang kepada peserta pameran untuk mempamerkan produk, perkhidmatan dan penyelesaian mereka kepada pasaran antarabangsa, memudahkan pertumbuhan perniagaan global dan pengembangan pasaran.

“ICW 2025 juga akan menyaksikan Anugerah Quest, pengiktirafan berprestij yang meraikan pemain industri cemerlang yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam kualiti, keselamatan dan kemampanan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI