KEHADIRAN jurulatih Perancis, Herman Terryn sebagai pengendali berbasikal trek remaja negara mula memberi impak positif selepas pelumba muda, Sawda Hasbullah memecahkan rekod remaja dunia dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2025.
Lebih membanggakan, kejayaan luar biasa Sawda membuktikan keberkesanan program latihan intensif yang diterapkan oleh Terryn sejak mengambil alih pasukan awal tahun lalu.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, kehadiran Terryn telah membawa perubahan besar dalam membentuk bakat muda negara sehingga mampu bersaing di peringkat dunia.
“Herman (Terryn) adalah jurulatih yang hebat. Beliau pernah melatih juara dunia dan kini memberi impak jelas. Kejayaan Sawda membuktikan kita berada di landasan yang tepat.
“Dengan sokongan berterusan, saya yakin lebih ramai pelumba bertaraf dunia dapat dilahirkan. Saya harap momentum ini perlu dikekalkan.
“Kita harus terus menyokong programnya dan memastikan lebih ramai pelumba mendapat peluang berkembang di bawah bimbingannya,” kata Amarjit.
Pada perlumbaan itu, Sawda mencatat masa satu minit 10.818 saat ketika meraih pingat emas dalam aksi final di Velodrom Nasional, Nilai pada Ahad lalu sebelum ia diiktiraf sebagai rekod dunia baharu.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim turut mengakui kejayaan Sawda sebagai petanda positif buat kem berbasikal trek negara.
“Ini berita yang sangat menggembirakan. Kita mempunyai pelapis yang mampu bersaing di peringkat tertinggi.
“Kita tahu sukan berbasikal trek sangat terhad dari segi bakat, tidak seperti lebuh raya. Jadi kejayaan ini cukup bermakna buat negara,” katanya.