BATU PAHAT – Satu sindiket menjadikan sebuah rumah sebagai stor menyimpan dan tempat pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan sejak Oktober tahun lalu.
Modus operandi sindiket itu bagaimanapun terbongkar selepas sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Batu Pahat melancarkan satu serbuan pukul 6.30 petang, 23 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, serbuan dilakukan ke atas sebuah rumah di Jalan Parit Botak, Senggarang di sini.
Katanya, dalam serbuan itu berjaya menahan dua lelaki tempatan berumur 36 dan 39 tahun.
“Sejumlah rampasan dipercayai dadah dianggarkan bernilai RM52,280. Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua tangkapan positif dadah jenis Methamphetamine.
“Semakan rekod jenayah lampau kedua-dua tangkapan mendapati seorang tangkapan mempunyai enam rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan jenayah manakala seorang lagi tangkapan mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan dadah,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut Shahrulanuar, antara dadah yang dirampas ialah enam peket plastik lutsinar berisi syabu dianggarkan seberat 1,090 gram bernilai lebih kurang RM34,880. – KOSMO! ONLINE