CYBERJAYA – Seorang pengarah reka bentuk, Norliyana Nasir, 35, sama sekali tidak menyangka pembelian rumah pertamanya membawa tuah selepas diumumkan sebagai pemenang Kempen Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 60 Tahun yang membolehkan beliau membawa pulang sebuah Perodua Bezza.
Norliyana membeli unit Aludra Residensi, projek rumah bandar PKNS di Selangor Cyber Valley (SCV) di sini pada Oktober tahun lalu dan menjadi antara pembeli yang telah disenarai pendek untuk menyertai cabutan bertuah berkenaan.
“Ini adalah rumah pertama saya dan kereta dimenangi ini akan saya gunakan untuk urusan harian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan kunci kereta Pemenang Kempen PKNS 60 Tahun Giveaway di Galeri Jualan SCV di sini kelmarin.
Kempen PKNS 60 Tahun Giveaway yang berlangsung pada 15 Oktober hingga 31 Disember tahun lalu diadakan khusus bagi menghargai pembeli rumah PKNS yang memenuhi terma dan syarat ditetapkan.
Sementara itu, Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran PKNS, Fadli Mohd Ariff berkata, kempen tersebut mencerminkan komitmen PKNS dalam usaha memberikan penghargaan kepada pembeli rumah selain sebagai salah satu cara untuk mengekalkan hubungan baik dengan mereka.
“Angka jualan dan tempahan kita juga meningkat. Penganjuran seperti ini turut memberi kesedaran bahawa PKNS ini masih ada dan masih aktif dengan menawarkan produk-produk yang bagus salah satunya seperti di Selangor Cyber Valley,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE