MENGGABUNGKAN empat legenda muzik tanah air, Datuk Jeffrydin, Datuk DJ Dave, Datuk Awie dan Ziana Zain, Konsert Rentas Masa di Zepp KL yang berlangsung baru-baru ini merupakan penghubung pelbagai generasi penonton.
Daripada kelompok peminat irama 60-an sehingga penggemar muzik berusia lingkungan 20 tahun, gelanggang konsert popular itu menjadi medan penyatuan khalayak.
Biar berbeza era, setiap penyanyi menyajikan dendangan mesra telinga dengan tenaga luar biasa membuatkan persembahan mereka meraih sorakan ramai.
Vokal hebat
Pentas dibuka DJ Dave yang membuktikan kehebatan vokalnya masih utuh selepas lebih lima dekad dalam industri muzik bersama medley Denyutan Hati, Menjelang Hari Raya, Cinta Abadi dan Titisan Embun Pagi.
Penampilan penuh bertenaga itu diteruskan dengan medley kedua iaitu Masa Yang Lepas Takkan Kembali, Di Desa Kasihku Tertumpah serta Ingin Bersua.
Nostalgia era emas diteruskan Jeffrydin yang masih ligat beraksi meski usia sudah mencecah 78 tahun.
Penghibur veteran itu mempersembahkan lagu Termenung, Siti Haida dan Seruling Anak Gembala dan Mas Mona.
Kemunculan Jeffrydin nyata merancakkan lagi momentum konsert bahkan penyanyi dihormati ramai itu turut mencuit hati khalayak dengan jenaka lucu mengimbas memori lampau.
Apa pun, penampilan kedua-dua penghibur veteran itu masih ‘menyengat’ sekali gus tidak menghampakan penonton.
Turut dinantikan kemunculan diva pop Ziana Zain yang memukau hadirin bersama seleksi lagu hit termasuk Putus Terpaksa, Anggapanmu dan Kekal sekali gus membuktikan keampuhan vokalnya tiada tandingan.
Aneka genre
Menyusul selepas itu vokalis Wings, Awie yang bukan hanya melengkapkan aura sebuah persembahan menepati tema merentas masa, bahkan turut menyuntik dimensi berbeza melalui genre rock.
Paling menjadi tumpuan tentu sahaja telatah bersahajanya yang mencuit hati khalayak.
Ikon rock itu mendendangkan seleksi ‘berhantu’ iaitu Iris selain versi tersendiri Istana Menanti dan Di Penjara Janji sebelum menutup tirai beraksi dengan Jeffrydin menerusi lagu Kenanganku.
Rata-rata penonton terhibur menyaksikan konsert berdurasi dua jam itu malah rasa berbaloi membeli tiket apabila disajikan 30 lagu popular.
Terdahulu, kumpulan rock Fly V yang diundang sebagai artis jemputan membawakan tiga lagu mereka, Bebas, Dalam Satu dan Samar Bayangan. – KOSMO! ONLINE