NILAI – Jaguh berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri terus menggegarkan Velodrom Nasional, Nilai Negeri Sembilan selepas meraih emas kedua peribadi pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 hari ini.
Emas kedua itu hadir selepas dia mempamerkan kayuhan cukup bertenaga ketika memenangi acara 1 kilometer (km) ujian masa wanita elit menewaskan atlet China, Luo Shuyan dan Hwang Hyeonso dari Korea Selatan pada aksi final.
Pingat emas diraih lebih bermakna apabila catatan masa 1:06.229 saat (s) dicatat atlet kelahiran Sungai Petani, Kedah itu berjaya memperbaharui rekod Asia 1:07.137s yang dilakukannya dalam aksi kelayakan di sebelah pagi.
Izzah menyuarakan rasa gembira selain berpuas hati dengan aksi ditampilkan, lebih-lebih lagi dapat mencatat rekod Asia yang juga merupakan catatan terbaik peribadi (PB).
“Pertama sekali, memang saya rasa sangat gembira dengan keputusan yang dicatat selain dapat memecahkan PB dan rekod Asia. Bagaimanapun, masih ada banyak yang perlu dipelajari dan beri saingan di pentas Eropah.
“Memang perlu lebih berani dan meningkatkan kekuatan untuk berlumba dengan pelumba-pelumba bertaraf dunia. Saya akan meraikan detik kejayaan ini dan terus meningkatkan diri,” katanya ketika ditemui selepas tamat saingan.
Sebagai rekod, acara 1km ujian masa elit wanita dipertandingkan buat pertama kali pada kejohanan tersebut bagi menggantikan acara 500 meter (m) ujian masa sebelum ini.
Menerusi kemenangan itu, Izzah boleh dianggap sebagai atlet senior negara paling cemerlang apabila meraih dua pingat emas menerusi acara 1km ujian masa dan keirin, satu perak (pecut berpasukan) serta satu gangsa (pecut individu).
“Saya berjaya mengulangi pencapaian tahun lepas dengan kutipan pingat yang sama dalam acara-acara tersebut. Saya anggap ini prestasi terbaik kerana tahun lepas China dan Jepun tidak menghantar pelumba-pelumba elit mereka,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE