BANDAR GAZA – Sekurang-kurangnya enam bayi meninggal dunia dalam tempoh dua minggu lalu di Semenanjung Gaza akibat cuaca sejuk, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.
Menurut pegawai perubatan dan kesihatan di wilayah Palestin itu, kekurangan tempat tinggal dan alat pemanas yang mencukupi turut menjadi antara faktor kematian tersebut.
Doktor-doktor di Hospital Kebajikan Rakan-Rakan Pesakit di Bandar Gaza berkata, sembilan bayi baru lahir mengalami keadaan akibat kesejukan. Lima daripadanya meninggal dunia, manakala seorang lagi dalam keadaan kritikal.
“Beberapa minggu lepas, kami (mempunyai) sembilan bayi dilahirkan di hospital kami. Sembilan bayi itu datang dengan kes ‘kecederaan sejuk’ atau hipotermia.
“Tiga bayi terselamat dan berjaya dirawat serta dibenarkan pulang. Masih ada seorang bayi di unit rawatan rapi dan berada dalam keadaan kritikal,” kata Dr. Samer Lubad yang bertugas di hospital tersebut.
“Keadaan ini berpunca daripada cuaca sejuk dan kekurangan tempat perlindungan yang selamat, kekurangan pemanasan pusat dan kekurangan bekalan elektrik di Semenanjung Gaza,” tambahnya.
Sebahagian besar daripada 2.1 juta penduduk Gaza telah dipindahkan beberapa kali semasa perang 16 bulan antara Israel dan Hamas dan hampir 70 peratus bangunan di wilayah itu dianggarkan rosak atau musnah. – AGENSI