KHARTOUM – Sekurang-kurangnya 46 orang terbunuh apabila sebuah pesawat pengangkut tentera terhempas ke kawasan perumahan di pinggir ibu negara Sudan, kata pejabat media pihak berkuasa Khartoum hari ini.
“Selepas pengiraan terakhir, jumlah mangsa yang terbunuh mencecah 46, dengan 10 cedera,” katanya berhubung kemas kini nahas itu.
Kementerian kesihatan yang bersekutu dengan tentera sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya 19 maut.
Pesawat Antonov itu terhempas malam semalam berhampiran pangkalan udara Wadi Seidna. Ia merupakan salah satu hab tentera terbesar tentera di Omdurman, barat laut ibu negara.
Tentera Sudan yang telah berperang dengan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) sejak April 2023 berkata, pesawat itu terhempas semasa berlepas. Ia membunuh dan mencederakan anggota tentera dan orang awam.
Saksi menggambarkan mendengar bunyi letupan kuat dan melihat beberapa rumah rosak di kawasan itu.
Nahas tersebut turut menyebabkan bekalan elektrik terputus di kawasan kejiranan berhampiran.
“Usaha pencarian diteruskan untuk mencari mangsa-mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan,” kata kementerian kesihatan.
Kementerian itu menambah bahawa pasukan kecemasan membawa orang awam yang cedera, termasuk kanak-kanak ke hospital berdekatan.
Sumber tentera berkata kerosakan teknikal menjadi punca nahas itu. – AFP