fbpx

120,000 dijangka kunjungi Bazar Ramadan@BSAS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seramai 120,000 orang pengunjung dijangka memeriahkan Bazar Ramadan@BSAS di Meru, Ipoh tahun ini. - Foto IHSAN PKNPK

IPOH – Seramai 120,000 orang dijangka mengunjungi Bazar Ramadan@Bulatan Sultan Azlan Shah (BSAS) di Meru sekali gus mengatasi rekod sebanyak 70,000 pengunjung tahun lalu.

Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, sehubungan itu, pihaknya meningkatkan lot perniagaan dari 100 kepada 121 lot di bazar Ramadan sepanjang 500 meter tersebut iaitu yang terpanjang di negeri ini.

“Bazar Ramadan@BSAS menawarkan platform penting bagi para usahawan kecil dan sederhana (PKS) menjana pendapatan, khususnya sepanjang bulan Ramadan.

“Keputusan untuk meningkatkan bilangan lot di bazar mencerminkan komitmen PKNPk dalam menyokong pertumbuhan PKS yang merupakan tulang belakang ekonomi tempatan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, langkah itu selari dengan matlamat Perak Sejahtera 2030 yang bertujuan memperkasakan PKS dan mencipta peluang ekonomi yang inklusif bagi semua rakyat Perak.

“Dalam tempoh tiga minggu, kesemua 121 lot di Bazar Ramadan@BSAS iaitu lot Silver dan Gold habis ditempah. Kedua-dua lot ini menjadi rebutan dalam kalangan peniaga kerana ia menawarkan pengalaman berbeza pada tahun ini.

“Berbeza dengan 2024, peniaga yang mengambil pakej Gold dibenarkan untuk meletakkan kerusi dan meja untuk pelanggan menikmati juadah berbuka puasa di situ. Masa operasi bazar pada kali ini dipanjangkan bermula pukul 4 petang hingga 12.30 tengah malam,” katanya.

Redza Rafiq berkata, pada tahun ini, PKNPk menyediakan parkir kenderaan tambahan sebanyak 500 lot yang terletak bersebelahan Menara A dan Menara B PKNPk, serta sekitar Rumah Tradisional Melayu.

“Bagi memastikan kelancaran lalu lintas, PKNPk turut melantik angota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sepanjang bazar Ramadan ini berlangsung. Bagi pengunjung yang meletakkan kenderaan di BSAS, caj RM1 dikenakan pada hari biasa dan RM2 pada hujung minggu,” katanya.

Bazar Ramadan itu bakal diwarnai dengan cita rasa menu dan juadah popular seperti Peknga Ubi by Zul Yahya, Ayam Goreng Furaido, Nasi Padang Tok Abi, Nasi Kaomok Ori Thai, Nasi Ayam Taugeh Las Vegas dan sebagainya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI