fbpx

1.5 juta ekor ayam setahun dikeluarkan Felcra di Rompin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD ZAHID (empat dari kanan) mendengar penerangan mengenai operasi Kompleks Ladang Ternakan Ayam Pedaging (Sistem Tertutup) Felcra di Rompin hari ini.

ROMPIN – Kira-kira 1.5 juta ekor ayam pedaging mampu dikeluarkan secara konsisten setahun melalui pembinaan Kompleks Ternakan Ayam Pedaging Felcra Berhad di sini sekali gus menampung keperluan permintaan ayam negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu sekali gus dapat memperkukuhkan lagi keterjaminan makanan negara terutamanya daripada segi bekalan ayam pedaging selain mengawal harga bahan makanan itu.

“Saya yakin tersedianya kompleks ternakan ayam berskala besar ini akan menyumbang kepada peningkatan pengeluaran domestik, sekali gus memastikan kestabilan bekalan makanan negara.

“Tahniah Felcra Berhad atas kejayaan membangunkan Kompleks Ternakan Ayam Pedaging Secara Sistem Tertutup di Tanjung Seratus, Rompin yang bakal menjadi projek perintis kepada lebih banyak ternakan ayam luar bandar.

“Saya yakin pencapaian ini akan terus membuka peluang ekonomi baharu, menambah baik taraf hidup komuniti setempat dan mengukuhkan lagi agenda keterjaminan makanan negara. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada lebih banyak inisiatif pembangunan yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia,”katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Perasmian Kompleks Ladang Ternakan Ayam Pedaging (Sistem Tertutup) Felcra di sini hari ini.

Tambah beliau penternakan ayam seperti itu akan diperluaskan dari semasa ke semasa menyaksikan dua lokasi baharu sedang giat membangunkan projek seperti itu di Lipis dan Bagan Datuk, Perak.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), kompleks seluas 20 hektar dengan 10 buah reban itu melibatkan kos pembinaan sebanyak RM60 juta dan mula beroperasi sepenuhnya pada bulan ini.

Katanya, setiap reban dapat menampung 30,000 ekor ayam dalam setiap pusingan sekali gus mampu mengeluarkan secara konsisten sebanyak 1.5 juta ekor ayam setahun.

“Sistem ternakan ayam secara tertutup ini menggabungkan teknologi moden dan amalan penternakan baik yang membolehkan ayam mencapai berat ideal dalam tempoh antara 28 hingga 30 hari iaitu lebih cepat berbanding sistem terbuka.

“Selain itu sistem kawalan suhu dan kelembapan yang canggih akan memastikan kesihatan dan kesejahteraan ayam terjaga sekali gus mengurangkan risiko penyakit,”katanya.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata, seiring dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), beliau menyambut baik cadangan Felcra untuk menubuhkan Pusat Pemprosesan Minyak Masak di Bidor, Perak, menaiktaraf pusat benih padi menggunakan teknologi lestari, serta membina kilang pengampitan beras di Felcra Seberang Perak.

Katanya, inisiatif-inisiatif ini bukan sahaja bertepatan dengan agenda nasional untuk memperkukuh keterjaminan makanan negara, malah membuka peluang kepada Felcra untuk terus unggul dalam sektor pertanian dan industri asas tani.

“Saya yakin Felcra mampu melaksanakan projek-projek ini dengan jayanya, rekod cemerlang dalam membangunkan ladang kelapa sawit dan mengoperasikan kilang pemprosesan minyak kelapa sawit mentah membuktikan kemampuan Felcra dalam industri ini.

“Felcra mesti terus melakukan anjakan, berinovasi dan meneroka peluang baharu untuk mengembangkan perniagaan sekali gus memberikan manfaat yang lebih luas kepada peserta dan negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI