KUALA LUMPUR – Institut Sukan Negara mengumumkan pelantikan Dr. Vellapandian Ponnusamy sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa serta-merta bagi menggantikan Ahmad Faedzal Md. Ramli yang menamatkan perkhidmatan semalam.
Pelantikan itu dilihat sebagai langkah strategik bagi memperkukuhkan lagi hala tuju ISN dalam bidang sains sukan, prestasi atlet dan inovasi sukan.
Dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam arena sains dan psikologi sukan, Vellapandian diyakini mampu membawa perubahan besar dalam landskap pembangunan atlet negara.
Anggota Lembaga ISN, Datuk Marina Chin menyifatkan pelantikan itu sebagai hasil proses pemilihan yang adil dan telus.
“Permohonan dibuka kepada sesiapa yang berminat dan daripada calon-calon memohon, mereka telah disenarai pendek melalui proses temuduga.
“Walaupun ada calon dari luar dan dalam organisasi, proses temu duga menunjukkan Dr. Vella adalah calon yang paling sesuai untuk jawatan ini,” katanya.
Sebelum menyandang jawatan tertinggi di ISN, Vellapandian pernah berkhidmat sebagai CEO Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Beliau juga bukan nama asing di ISN selepas pernah memegang jawatan penting seperti Pengarah Bahagian Prestasi Sukan dan Ketua Program Podium iaitu program elit pembangunan atlet kebangsaan.
Ketokohan dan kepakarannya dalam membentuk atlet berprestasi tinggi serta kemahiran dalam psikologi sukan dianggap aset penting memperkukuhkan program sukan elit negara selain diharap dapat memperkasakan lagi misi ISN untuk melahirkan atlet bertaraf dunia. – KOSMO! ONLINE