fbpx

Umat Islam harus bina kekuatan ekonomi, kuasai AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika makan malam bersama Sheikh Dr. Ekrima (kiri) di Seri Perdana, malam tadi. -Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

PETALING JAYA – Umat Islam harus merangkul usaha untuk membina kekuatan ekonomi dan menguasai kecerdasan buatan (AI) dan digital dalam persaingan dunia yang sengit dan mencabar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berkata umat Islam perlu menyeimbangkan kemajuan teknologi dengan nilai kemanusiaan, akhlak dan ihsan, seperti ditekankan dalam gagasan Kerajaan Madani.

Beliau menekankan perkara itu ketika berucap di Majlis Ilmu Madani di Masjid Putra, Putrajaya malam tadi sambil disaksikan Imam dan khatib Masjidil Aqsa, Sheikh Dr. Ekrima Sa’id Sabri.

Di dalam ucapannya juga Anwar mengulangi teguran yang disampaikan tatkala berucap di hadapan para ulama dan sarjana Islam sewaktu Persidangan Dialog Intra-Islamik (IIDC) di Bahrain baru-baru ini.

“Teguran tersebut terkait permasalahan umat Islam yang masih direnggut perpecahan akibat perbalahan isu-isu remeh, hingga kita mengabaikan usaha membangun dan memperkukuh perpaduan umat,” katanya dalam hantaran di Facebook malam tadi.

Dalam pada itu, ujar beliau, Sheikh Dr Ekrima sewaktu menyampaikan tausiah bertajuk ‘Kedudukan al-Quds dan al-Aqsa disisi Islam’, telah mengupas sejarah agung kota Al-Quds yang menyaksikan kebesaran Allah melalui peristiwa Israk dan Mikraj.

“Ketokohan Umar Al-Khattab sebagai seorang khalifah yang adil dan diberi penghormatan membuka kota Baitulmuqaddis, turut disentuh dan dikongsikan bersama hadirin.

“Ketika itu, kota Al-Quds menjadi saksi tatkala Bilal ibn Rabah kembali mengalunkan azan selepas lima tahun kewafatan Rasulullah SAW, yang meruntun jiwa para sahabat yang merindui Baginda,” katanya.

Semalam, Anwar meraikan Sheikh Dr. Ekrima sebagai tetamu istimewa dengan makan malam bersama di Seri Perdana sebelum menunaikan solat Maghrib berjemaah di Masjid Putra, Putrajaya.

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada Sheikh Dr. Ikrimah sebagai salah seorang tokoh yang menjadi benteng pertahanan umat dalam memperjuangkan kedudukan Masjid al-Aqsa.

Sementara itu, Anwar turut menyatakan hasratnya dalam menyambut saranan Sheikh Dr Ekrima, untuk menyegerakan usaha pembangunan semula Gaza terutama menerusi wakaf.

“Justeru, saya meminta Kementerian Pengajian Tinggi dan universiti tempatan untuk menjalin hubungan dengan Universiti Al-Quds di Baitulmuqaddis demi kelangsungan ilmu dan pembangunan umat Palestin.

“Menyentuh tragedi genosid sewaktu Palestin dibantai dalam keadaan umat Islam yang lesu, saya menyeru hadirin agar meniupkan roh perjuangan dan mengangkat martabat umat dalam pelbagai bidang serta meninggalkan masalah remeh-temeh yang memecahbelah umat,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI