SHAH ALAM – Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diarahkan menyelenggara pokok-pokok yang berada dibawah seliaan masing-masing bagi mengelak sebarang kejadian termasuk meragut nyawa.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Ng Suee Lim berkata, penyelenggaran itu perlu dilakukan secara berkala ekoran kekerapan kejadian ribut dan hujan lebat ketika ini.
“Banyak pokok kita (sebab) hendak hijaukan bandar raya kita. Kita tanam dan jaga pokok. Cuma kadang-kadang membawa kesan juga apabila hujan lebat dan angin kuat sehingga berlaku pokok tumbang.
“Skuad Pantas akan dikerahkan agar penyelenggaraan pokok ini dapat dilakukan secara berkala,” katanya kepada pemberita hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan seorang lelaki maut manakala anak perempuannya terselamat selepas kenderaan dinaiki mereka dihempap sebatang pokok dalam kejadian di Jalan Batu 3, Kampung Bukit Kuda di sini lewat petang semalam.
Mangsa, Azhehari Ansar, 46, disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
Suee Lim turut menegaskan, siasatan terperinci akan dilakukan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) untuk memastikan insiden sedemikian tidak berulang pada masa akan datang.
“Saya juga telah mengarahkan MBDK melantik kontraktor khas serta merta bagi menyelenggara pokok-pokok berisiko termasuk mencantas atau menebang terus.
“Sebanyak RM12 juta dibelanjakan sebelum ini untuk menyelenggara pokok. Pada tahun ini, kita minta (PBT) tambah lebih lagi, kalau boleh sampai RM15 juta pun tak apa sebab skop PBT luas,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE