BANGKOK – Seorang penjaja di Pasar Khlong Toei, Bangkok, mengejutkan orang ramai apabila dia menangkap seekor ular bersaiz besar dengan tangan kosong sebelum menyeret reptilia itu di pasar malam, lapor portal berita MSNews semalam.
Satu klip video yang dimuat naik di platform TikTok memaparkan gelagat penjaja tersebut yang memegang bahagian ekor ular itu di tepi jalan.
Pada mulanya, ular itu dilihat cuba melawan dan meloloskan diri tetapi lelaki tersebut dengan tangkas mengawal, menggenggam dengan kuat dan menyeretnya melintasi jalan.
Dia kemudian dibantu oleh seorang lelaki lain yang menggunakan sebatang kayu untuk menangkap reptilia tersebut.
Video itu mendapat 1.4 juta tontonan dan beratus-ratus komen dengan kebanyakan netizen meluahkan rasa terhibur dan kagum melihat keberanian lelaki tersebut.
Seorang pengguna media sosial menyifatkan cara penjaja tersebut mengendalikan ular sangat santai, seolah-olah dia sedang memegang mainan. – AGENSI