KANGAR – “Saya dengar suami menjerit seperti marah sebelum mendapati suami sudah tertiarap dengan luka berdarah di kepala'”.
Demikian kata Rodziah Mat, 63, yang masih terkejut dengan kejadian suaminya, Halim Osman berusia lingkungan 70-an ditetak anak lelaki berusia awal 40-an yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mental pada petang semalam.
Katanya, kejadian berlaku ketika dia sedang mengambil wuduk untuk menunaikan solat asar sebelum terdengar suaminya menjerit seperti dalam keadaan marah.
“Saya terus ke ruang tamu kerana suami tidak pernah berkelakuan sedemikian sebelum terkejut melihat dia sudah tertiarap dengan luka di kepala.
“Seorang lagi anak saya memaklumkan abangnya (suspek) telah keluar dari rumah selepas menyerang suami menggunakan parang. Saya tidak tahu bila dan di mana dia mengambil parang itu,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Padang Besar Selatan, di sini hari ini.
Katanya, ketika kejadian, dua lagi anaknya yang berada di rumah segera menghubungi seorang kakak mereka yang tinggal berasingan untuk mendapatkan bantuan.
“Tidak lama kemudian, mereka sampai dan menantu bawa suami ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Alhamdulillah, dia sudah dibenarkan pulang dan kini berehat di rumah anak kedua saya.
“Saya tidak menyangka anak bertindak sedemikian kerana ini kali pertama dia melakukannya. Sebelum ini, dia tidak agresif dan sentiasa mengambil ubat penenang mengikut jadual,” ujarnya.
Rodziah menambah, anak ketiganya itu masih menerima rawatan berkala di hospital bagi masalah kesihatan mental yang dihadapinya. – KOSMO! ONLINE