fbpx

Rawatan percuma di klinik panel Perkeso bermula hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Subahan (enam kiri), Mohammed Azman (lima kiri) dan Nanthakumar (enam kanan) bersama para pekerja Westport Sdn. Bhd. dalam program RBK hari ini. -Foto SADDAM YUSOFF / KOSMO!

KLANG – Semua pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) boleh mendapatkan rawatan percuma di semua klinik panel bermula hari ini.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pencarum hanya perlu menunjukkan kad pengenalan sebelum disahkan mereka mencarum dengan Perkeso.

Katanya, kesemua tuntutan berkaitan kos rawatan akan dituntut terus pihak klinik kepada Perkeso.

“Seperti diumumkan Menteri Sumber Manusia (Steven Sim Chee Keong) berkaitan klinik panel yang mana mereka mengalami kemalangan atau bencana pekerjaan tidak perlu membayar di klinik panel.

“Apa yang diumumkan Menteri telah bermula hari ini. Bawa IC (kad pengenalan) dan disahkan mereka merupakan pencarum dan dapatkan rawatan terus secara percuma. Dari segi bayaran, klinik terus menuntut kepada Perkeso,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Perniagaan Konvensional Westport Sdn. Bhd., M. Nanthakumar meninjau program Rawatan Bencana Kerja (RBK) Perkeso di Westport berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan Steven Sim dipetik berkata, Semua pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tidak perlu lagi membayar untuk rawatan perubatan di klinik panel bermula tahun ini.

Kemudahan itu boleh diperolehi 1,448 klinik panel Perkeso berdaftar seluruh negara.

Mohammed Azman menjelaskan, berdasarkan rekod sebanyak 86,529 kes kemalangan dilaporkan kepada Perkeso sepanjang tahun lalu.

Ujarnya, daripada jumlah tersebut didapati hanya 66,574 kes disahkan sebagai bencana kerja yang mendapat manfaat mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

“Ini kalau bagi tempoh tempoh sama sebanyak 886 kematian direkodkan. Jadi, setiap hari tiga orang keluar daripada rumah tidak akan kembali ke rumah (meninggal dunia),” katanya.

Sementara itu, Subahan berkata, penyediaan program RBK melalui platform Program Saringan Kesihatan (SEHATi) membolehkan klinik panel Perkeso menyemak kelayakan dan memberi rawatan lanjut kepada pencarum bagi kecederaan berpunca daripada kemalangan di tempat kerja.

“Pencarum juga boleh menyemak sendiri kelayakan menerusi aplikasi sama yang boleh diakses secara dalam talian selain mendapatkan senarai klinik panel Perkeso dan membuat janji temu untuk rawatan susulan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI