SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 4 Mac ini bagi keputusan permohonan pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf untuk membatalkan pertuduhan mengabai anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin.
Hakim Mahkamah Tinggi Roszianayati Ahmad menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan ringkas secara lisan daripada kedua-dua belah pihak hari ini.
Terdahulu semasa prosiding hari ini, peguam Marcus Lee yang mewakili Zaim Ikhwan dan Ismanira selaku pemohon berhujah pertuduhan yang dipertuduhkan terhadap kedua-dua pemohon tidak menyatakan secara spesifik kesalahan yang dilakukan.
“Dalam pertuduhan ini, sama ada pengabaian itu dilakukan dan berkemungkinan atau tidak menyebabkan kecederaan fizikal. Cara jenayah itu dilakukan mesti dinyatakan dalam pertuduhan,” kata peguam itu.
Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin selaku responden berhujah bahawa pertuduhan yang didakwa ke atas kedua-dua pemohon adalah jelas, tidak kabur dan tidak defektif.
“Tidak ada keperluan bagi pihak pendakwaan memberi butiran bagaimana kesalahan itu dilakukan kerana itu melibatkan keterangan-keterangan yang akan dikemukakan,” kata Raja Zaizul.
Zaim Ikhwan dan Ismanira memfailkan notis usul bagi membatalkan pertuduhan itu pada 21 Januari lalu sekali gus memohon dilepas dan dibebaskan.
Sebelum ini, berdasarkan dokumen notis usul dan afidavit sokongan Zaim Ikhwan dan Ismanira mendakwa pertuduhan yang dikenakan tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.
Minggu lalu, dua saksi kanak-kanak dalam kes perbicaraan itu telah selesai memberi keterangan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya termasuk Hakim, pendakwaan dan pembelaan melawat kawasan Blok R di Apartment Idaman, Damansara Damai tempat Zayn Rayyan dilaporkan hilang.
Selain pihak mahkamah, turut hadir di lokasi kejadian ialah Zaim Ikhwan dan Ismanira serta enam saksi pendakwaan.
Setakat ini seramai 20 saksi pendakwaan telah memberikan keterangan dan perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi 11 Mac ini.
Mengikut pertuduhan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE