fbpx

Penyamun menyamar tetamu dijel 24 bulan, pitam di mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai dan anggota polis membawa Tuan Maimun (tengah) untuk didakwa atas pertuduhan mencuri wang RM2,500 di Mahkamah Majistret Pasir Mas hari ini. -Foto KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!

PASIR MAS – Seorang peniaga kuih-muih yang menyamar sebagai tetamu sebelum melarikan beg tangan berisi wang berjumlah RM2,500 di sebuah majlis kenduri perkahwinan pitam di dalam kandang tertuduh sebaik sahaja mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Tuan Maimun Che Tuan, 61, hampir rebah selepas membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd. Fauzan Mohd. Suhairi semasa anggota polis mengemukakan bukti-bukti kes.

Keadaan itu menyebabkan prosiding pendakwaan ditangguh selama 10 minit bagi memberi ruang kepada Tuan Maimun untuk bertenang.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan curi dalam bangunan iaitu wang sebanyak RM2,500 milik Norhayati Mohd. Noor, 59, di sebuah rumah di Kampung Tasek Berangan di sini kira-kira pukul 12.42 tengah hari pada 1 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan bagi kesalahan kedua, penjara dan denda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan, tertuduh juga mempunyai dua rekod sabitan lampau di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu hukuman penjara 24 bulan bermula 9 April 2003 di Mahkamah Majistret Bachok dan 10 bulan penjara bermula 20 April 2011 di Mahkamah Majistret Besut, Terengganu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimi manakala tertuduh diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Amira Mat.

Terdahulu, Syazalia memohon hukuman yang setimpal dikenakan kerana mengambil kira kepentingan awam dan mangsa yang mengalami kerugian sebanyak RM2,500.

“Tertuduh juga mempunyai dua rekod jenayah lampau berkait kes sama. Tertuduh juga mengaku bersalah atas kesalahannya sekali gus menunjukkan bahawa dia tidak insaf atas perbuatannya.

“Justeru, pihak pendakwaan memohon hukuman yang setimpal termasuk denda dikenakan kepada tertuduh,” katanya.

Nur Amira dalam rayuannya memaklumkan bahawa tertuduh yang merupakan ibu kepada enam orang anak tinggal seorang diri selain mempunyai penyakit darah tinggi, kolesterol dan masih dalam rawatan selepas menjalani pembedahan usus.

“Pengakuan bersalah tertuduh sudah banyak menjimatkan masa mahkamah. Justeru, tertuduh memohon hukuman penjara dan denda paling minimum bagi kesalahan tersebut,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara 24 bulan bermula tarikh sabitan dan denda RM3,000 dengan tambahan hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut fakta kes, Norhayati pergi ke rumah ibunya di Kampung Tasek Berangan di sini untuk menghadiri kenduri kahwin anak saudara sebelum meletakkan beg tangan di atas almari bahagian dapur rumah tersebut.

Mangsa mendapati beg tangan berisi wang RM2,500 yang diletakkan di atas almari hilang semasa mahu pulang.

Pemeriksaan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di bahagian dapur rumah itu menunjukkan tertuduh mengambil wang RM2500 dan meninggalkan beg tangan mangsa di atas almari pinggan mangkuk berhampiran tandas bahagian dapur rumah.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, selepas lebih dua minggu, seorang wanita warga emas yang dipercayai menyamar sebagai tetamu sebelum melarikan beg tangan berisi wang berjumlah RM2,500 pada majlis perkahwinan akhirnya dicekup pada 16 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, suspek ditahan di depan sebuah masjid di Jalan Seri Cemerlang, Kota Bharu dekat sini semasa menaiki sebuah teksi dipandu rakannya berusia 63 tahun.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, warga emas itu mempunyai 10 rekod lampau berkait kes menceroboh rumah, mencuri di dalam rumah, sekatan buang daerah (PCO) yang dihadkan, meragut dan mencuri.

“Kesemua rekod lampau itu melibatkan kesalahan yang dilakukan di pelbagai lokasi di Kelantan dan Terengganu manakala PCO pula di Slim River, Perak,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI