fbpx

Pelantikan Thaksin tunjuk petanda positif – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar di Dewan Rakyat hari ini. -Foto JAPEN

KUALA LUMPUR – Pelantikan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai anggota kumpulan penasihat tidak formal kepada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 menunjukkan petanda positif walaupun ada sedikit kontroversi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelantikan Thaksin
membantu usaha negara menangani isu banjir apabila berhasil menyegerakan projek Sungai Golok-Rantau Panjang termasuk mengorek muara Sungai Golok di Kelantan.

“Beliau (juga) baru-baru ini ke selatan Thailand memohon maaf atas isu Tak Bai dan memberi jaminan akan bekerjasama dengan Malaysia cuba menyelesaikan isu dihadapi di sana secara aman dan adil,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar memberi jaminan proses pengambilan tanah bagi pembangunan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Kelantan akan diselesaikan dalam tempoh enam bulan.

Kata beliau, ia bagi membolehkan pelaksanaan projek berkenaan dipercepatkan dalam usaha menangani masalah banjir di negeri itu.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, agihan sumbangan termasuk bantuan tunai kepada mangsa banjir dibuat secara khusus kepada individu yang berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS)

Katanya, agihan itu dibuat dengan kerjasama kerajaan negeri serta pejabat daerah di seluruh negara atau pejabat jajahan di Kelantan.

“GLC Demi Rakyat dan Negara (GDRN) lebih aktif membantu sehingga mengumpul RM22.5 juta bantuan makanan dan barangan sokongan logistik.

“Beberapa pertubuhan bukan kerajaan diiktiraf boleh membantu mempercepat agihan makanan dan logistik kepada mangsa,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, tindakan Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada Perjanjian Iklim Paris tidak menjejaskan komitmen Malaysia bersama negara anggota ASEAN lain dalam soal perubahan iklim.

Kata beliau, Malaysia komited memperkukuh hubungan bersama negara ASEAN dengan melakukan beberapa penyesuaian termasuk daripada segi peralihan tenaga.

Menurutnya, dasar peralihan tenaga digunakan di Semenanjung dan Sarawak malah akan dilaksanakan secara lebih agresif bagi menangani isu perubahan iklim di negara ini.

“Saya lihat konsensus di ASEAN tidak berubah. Adakah kita mampu mempengaruhi dasar AS? kita tak fikir kita terlalu ‘ambitious’ sehingga ke situ, cuma kita jaga rakan dan jaringan sedia ada,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI