fbpx

Pekerja motosikal sewa didakwa edar lebih 16 kg ganja di pangkalan haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis membawa Mohamad Najmi (tengah) selepas didakwa atas pertuduhan mengedar lebih 16 kg ganja di Mahkamah Majistret Pasir Mas hari ini. -Foto KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!

PASIR MAS – Seorang pekerja perkhidmatan sewaan motosikal didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja atau kanabis seberat 16.17 kilogram (kg) di kawasan pangkalan haram di Rantau Panjang dekat sini kira-kira dua minggu lalu.

Tertuduh, Mohamad Najmi Sukri, 24, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Fauzan Mohd. Suhairi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 16,177 gram di pangkalan haram Hasan Merah, Rantau Panjang dekat sini kira-kira pukul 10 pagi pada 16 Februari lalu.

Mohamad Najmi dituduh melakukan suatu kesalahan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 21 Mei depan untuk sebutan semula kes dan serahan laporan kimia.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, cubaan seorang lelaki untuk menyeludup sebanyak lebih 16 kg dadah jenis ganja bernilai lebih RM50,184 dari Thailand tidak kesampaian apabila dia dicekup di pangkalan haram Hassan Merah di sini pada 16 Februari lalu.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, suspek cuba melarikan diri dan membuang bungkusan yang dipercayai berisi dadah tersebut semasa serbuan dijalankan.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati, sebanyak 34 kotak mengandungi lebih 16 kg dadah jenis ganja ditemui semasa tangkapan dijalankan.

“Siasatan awal mendapati, kesemua dadah yang bernilai lebih RM50,184 itu dipercayai untuk dijual ke pasaran tempatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI