KUALA LUMPUR – Dikecam bertubi-tubi selepas Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), penyanyi Aina Abdul mengakui berjauh hati dengan netizen yang seolah-olah menutup mata terhadap kualiti persembahan dibawakan malam itu.
Ujar Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 31, niatnya hanya mahu menyampaikan karya dengan jujur, bukannya menunjuk-nunjuk atau mencuri perhatian.
“Ada sikit rajuk, tapi tidaklah sampai terlalu kecewa. Saya manusia biasa, jadi apabila usaha diberikan sepenuh hati tetapi tetap tidak dihargai, sedikit sebanyak terasa juga.
“Netizen kecam seolah-olah saya tidak memberikan kualiti pada persembahan AJL tempoh hari. Saya berasakan macam di AJL itu mereka (netizen) tidak lagi melihat kualiti. Ini bagi saya lah, saya bukan bercakap bagi pihak orang lain.
“Melihat bagaimana netizen melayan saya sebegini, memang kecil hati. Saya cuma ada satu matlamat iaitu mahu berlaku jujur dalam berkarya. Itu yang saya cuba tonjolkan. Bukan mahu menunjuk atau ‘show off’, tetapi demi lagu dan seni,” katanya kepada Kosmo! Online.
Meskipun dihujani kritikan pedas, pelantun lagu Puas Sudah itu tetap memilih bertenang agar tidak terkesan dengan kecaman yang boleh menggugat emosinya.
Pun begitu, pemenang AJL37 itu tidak dapat lari daripada tempias negativiti yang tidak henti-henti dilemparkan kepadanya.
“Mental saya? Alhamdulillah, masih kuat untuk menghadapi semua ini dengan tenang. Sejujurnya, saya tidak keluar rumah langsung selepas AJL.
“Bukan sebab lemah atau takut, tetapi saya rasa lebih baik luangkan masa bersama kucing-kucing di rumah. Itu lebih penting daripada sibuk membaca komen negatif.
“Tapi tak boleh lari, benda negatif tetap akan sampai. Walaupun saya cuba elak, pasti ada yang datang melaporkan kepada saya. Tapi saya faham, semua orang bebas bercakap apa sahaja,” ujarnya.
Mengulas tentang kesan kecaman terhadap dirinya, Aina enggan terus larut dalam kesedihan kerana masih banyak tanggungjawab perlu digalas.
“Saya nak terus kekal berpijak di bumi nyata dan fokus pada kerja kerana masih banyak perkara perlu diselesaikan.
“Kalau saya biarkan emosi merajuk terlalu lama, mungkin saya tidak akan kembali. Tapi saya tak boleh macam itu, saya ada pasukan, syarikat produksi dan banyak perancangan yang perlu diuruskan.
“Saya di sini untuk terus berkarya. Yang menghargai seni saya, saya buat untuk mereka,” dedahnya.
Terdahulu, Aina menjadi sasaran kecaman hebat termasuk buli siber dan ‘face shaming’ selepas persembahan di AJL39.
Segelintir netizen seperti tidak menghargai bakatnya, malah ada yang bersorak gembira ketika dia gagal membawa pulang hadiah utama. – KOSMO! ONLINE