MELAKA – Seorang operator kilang didenda RM1,400 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan teman wanitanya, tahun lalu.
Majistret Dr. Teoh Shu Yee menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Yong Meng Siang, 25, yang membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja mencederakan teman wanitanya, Merryn Tan Seik Ling, 25, dengan mengangkat dan menghempas mangsa menggunakan tangan dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5 pagi pada 2 November tahun lalu.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah beralamat DT 919, Jalan Bukit Tambun 28, Taman Bukit Tambun Perdana, Durian Tunggal.
Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga setahun, denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Difahamkan tertuduh melakukan perbuatan itu selepas berlaku pertengkaran berkaitan perasaan cemburu dan isu perbelanjaan rumah.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan diberikan dengan alasan dia hanya bekerja sebagai operator kilang dan menanggung seorang anak perempuan berusia lima tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fikri Hakim Zamri bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,600 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar. – KOSMO! ONLINE