MENGGALAS tanggungjawab sebagai pengacara Anugerah Juara Lagu (AJL) bukan satu tugas yang mudah buat mana-mana individu.
Begitu jua yang dilalui Naz Rahman apabila berdepan kecaman dan jangkaan tinggi daripada orang ramai.
Kalau berjaya, pujian akan menghujani dirinya tetapi sekiranya gagal, kecaman yang membanjiri.
Namun, usai AJL39 melabuhkan tirai, Naz atau nama penuhnya Nazrudin Habibur Rahman, 46, meraih pujian kerana berjaya mengendalikan anugerah tersebut bersama Sissy Iman dengan cemerlang selain menepati janjinya tidak menjadikan isu orang lain sebagai bahan jenaka.
Akui Naz, AJL tidak tersenarai dalam ‘bucket list’ meski pun sebelum ini dia pernah mengendalikan beberapa program hiburan.
“Sejujurnya saya tak pernah pasang impian untuk menjadi hos AJL sebab rasa saya bukan orangnya.
“Walau pun orang kata pengalaman saya luas dan sudah cuba banyak cabang dalam dunia pengacaraan, saya tetap tak pernah letak AJL dalam ‘bucket list’.
“Mungkin orang nampak saya seorang menghiburkan tetapi tidak bermaksud saya harus mengendalikan program hiburan. Namun, saya cabar diri sebab sudah diberikan kepercayaan,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Naz turut menegaskan sepanjang dua dekad bergelar pengacara, populariti bukan matlamatnya. “Apabila orang sudah mula cakap saya akan glamor selepas jadi hos AJL, saya tolak perkara itu.
“Sebab penanda aras saya bukan glamor tetapi profesionalisme,” katanya lagi.
Berkongsi tentang pendiriannya yang enggan menggunakan isu sensitif atau hal peribadi orang lain sebagai bahan jenaka, Naz berkata, setiap pengacara mempunyai pendekatan berbeza.
Mungkin adakalanya isu sebegitu dianggap kelakar tetapi pengacara harus memikirkan perasaan tuan punya badan apabila isu mereka dijadikan bahan jenaka.
“Tidak salah nak zahirkan komedi atas pentas, semua ada gaya tersendiri. Kalau penonton suka dan gelak, maknanya awak berjaya.
“Mungkin itu pendirian saya, namun niat tetap tak menghalalkan cara, kita jangan jatuhkan atau sindir orang lain. Dalam laut kita boleh duga, dalam hati orang kita tak tahu.
“Kadang-kadang ada isu yang artis tak mahu bahaskan tapi tiba-tiba pengacara pula bangkitkan atas pentas untuk isi masa.
“Kalau boleh saya nak tidur lena pada waktu malam supaya tak terfikir nak minta maaf pada orang lain, jadi lakukan tugasan dengan cara profesional,” ujarnya.
Pelapis
Melihat revolusi dunia pengacaraan, Naz berpendapat ramai wajah baharu yang harus diketengahkan, namun bakat perlu menjadi keutamaan.
“Sekarang zaman media sosial dan jumlah pengikut yang akan dilihat terlebih dahulu tanpa tahu mereka ada bakat atau tidak.
“Kadang-kadang petah bercakap sahaja tidak cukup dan sebenarnya itu hanya memenuhi salah satu kriteria.
“Jadi, stesen televisyen perlu ambil kira mereka yang ada bakat, harus dilatih dan dibentuk dahulu,” jelas bekas pengacara Jalan Jalan Cari Makan itu.
Naz juga berpendapat Nani Roslan dan pempengaruh media sosial Ceddy Ang antara pelapis yang boleh diketengahkan dalam bidang pengacaraan.
“Saya gemar menonton macam-macam rancangan dan suka Ceddy sebab ayat yang dilontarkannya sangat bersahaja.
“Ceddy bijak, tidak ‘fake’ dan tahu apa dia nak buat. Kalau kategori ‘influencer’, boleh angkat dia. Nani pula ada suara emas dan berbakat besar.
“Mungkin ada yang bercanggah pendapat dengan saya tetapi itu yang saya nampak dan kita memang perlukan wajah-wajah baharu seperti mereka,” tutupnya.