JAKARTA – Seorang pegawai imigresen di Pekanbaru, wilayah Riau melanggar isterinya menggunakan kereta selepas hubungan sulitnya dengan wanita lain diketahui mangsa, lapor laman berita Tribunnews semalam.
Dalam kejadian pada Ahad lalu, mangsa yang dikenali sebagai KO, mengekori kereta dinaiki AN bersama teman wanitanya, RA.
RA merupakan rakan sekerja AN di pejabat imigresen wilayah Riau.
Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Pekanbaru, Komisioner Bery Juana Putra, KO mengekori kereta milik RA di Jalan HR Subrantas sebelum memberhentikan kenderaan itu.
AN dan RA, yang juga sudah bersuami, dilaporkan baru pulang dari Bukittinggi, wilayah Sumatera Barat.
Mangsa berdiri di hadapan kereta sambil menyuruh AN dan RA keluar dari kenderaan itu sebelum dia memegang seketul batu untuk memecahkan cermin kereta.
Namun, AN enggan mengikuti arahan itu lalu melanggar isterinya , menyebabkan mangsa cedera.
“Mangsa mendakwa bahawa RA menjalin hubungan sulit dengan AN. insiden itu turut disaksikan oleh suami RA,” kata Bery.
Susulan insiden itu, mangsa membuat laporan polis, manakala Bery berkata, ia akan disiasat mengikut dakwaan melakukan serangan. – AGENSI