GUA MUSANG – Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh seekor lembu yang melintas jalan di Felda Chiku 3 di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu, mangsa, Muhammad Hanif Asraf Mohd. Mazlan, 19, yang berasal dari Felda itu disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Chiku 3 di sini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari arah jalan utama Felda Chiku 1 menghala masuk ke Jalan Chiku 3.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, seekor lembu dipercayai tiba-tiba melintas dari kiri ke kanan jalan.
“Keadaan itu menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak sebelum merempuh haiwan tersebut.
“Muhammad Hanif terjatuh di atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah. Mangsa dibantu oleh orang awam sebelum dibawa ke Klinik Felda Chiku 3,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Choon Foo memberitahu, mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di klinik tersebut.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987. – KOSMO! ONLINE