HULU SELANGOR – Suspek yang mencabul kanak-kanak di sebuah masjid Batang Kali, di sini, bakal dituduh di Mahkamah Majistret Ampang pada Khamis ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kertas siasatan sudah lengkap dan telah dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya IDCC Selangor hari ini.
“Kertas siasatan telah mendapat arahan tuduh ke atas suspek di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Sekiranya disabitkan kesalahan, hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh disebat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pertuduhan ke atas remaja berusia 19 tahun akan dijalankan di Mahkamah Majistret Ampang pukul 9 pagi.
Terdahulu Kosmo! melaporkan suspek ditahan selepas disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan ketika solat subuh di sebuah masjid pada 21 Februari lalu.
Kejadian berlaku ketika mangsa sedang sujud di belakang barisan jemaah wanita dan rakaman video televisyen litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan tersebar di media sosial.
Berdasarkan rakaman CCTV, suspek berkopiah putih menyelinap masuk ke bahagian ruangan solat wanita sebelum memeluk mangsa dari arah dan membawanya keluar dari ruangan berkenaan.
Ketika itu, murid berkenaan sedang solat di saf belakang seorang diri dan ia tidak disedari jemaah wanita lain yang sedang sujud. – KOSMO! ONLINE.