NOALE, Itali – Juara dunia, Jorge Martin dijangka berada di Litar Buriram, Thailand menjelang perlumbaan sulung Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) bagi saingan musim baharu hujung minggu ini.
Bagaimanapun, kehadirannya bukanlah untuk menyertai perlumbaan itu memandangkan kecederaan yang dialaminya pada sesi ujian rasmi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) awal bulan ini masih belum pulih sepenuhnya.
Ketua pasukan Aprilia Racing, Massimo Rivola berkata, walaupun Martin masih belum cergas sepenuhnya untuk beraksi, namun pelumba Sepanyol itu akan hadir sekurang-kurangnya untuk melakukan ujian.
“Malang sekali dia (Martin) masih belum pulih daripada kecederaan yang dialami sebelum ini. Kecederaan tangan kanan dan kaki kiri merupakan kombinasi mahu dielak oleh mana-mana pelumba.
“Bagaimanapun, kami tetap optimis kerana dia merupakan seorang pejuang dan akan kembali lebih kuat selepas ini. Martin akan datang ke Buriram untuk melakukan ujian walaupun hujung minggu ini ada perlumbaan,” katanya.
Menerusi ketiadaan Martin, Aprilia akan menaruh sepenuh kepercayaan terhadap seorang lagi pelumba, Marco Bezzecchi bagi menggalas cabaran pasukan dari Itali itu pada Grand Prix (GP) Thailand nanti.
“Saya fikir Marco (Bezzecchi) sudah serasi dengan jentera pasukan ini dan ia perkembangan cukup menarik. Apa yang paling penting adalah dia sentiasa memberi maklumat bagi memastikan jentera dapat memecut lebih laju,” ujar Rivola. – AGENSI