PETALING JAYA – Ahli keluarga bakal bertambah, pelakon dan pengacara Fizo Omar mendedahkan isterinya, Fazeera Nazri kini hamil anak ketiga.
Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 40, berkata, mereka sekeluarga teruja serta tidak sabar menunggu kehadiran orang baru.
“Dapat adik baru. Alhamdulillah.
“Kakak dan adik kena bersedia untuk menjadi kakak-kakak yang baik.
“Terujanya nak sambut adik baru,” katanya dalam perkongsian dalam Instagram.
Pengacara program Nasi Lemak Kopi O itu juga bersyukur kepada Allah SWT dikurniakan lagi zuriat sebagai rezeki paling bermakna.
“Cahaya mata nama diberi yang datang tak kira ruang dan waktu. Yakinlah pada lorong dan corong rezeki yang hadir daripada cahaya itu.
“Tidak salah firasatku, benarlah perjanjian dari yang Esa ini.
“Kami bersyukur kerana munculnya cahaya mata yang kami ada, sepi tak lagi terasa kerana tawa kecilnya pemecah kesunyian,” ujarnya.
Dalam hantaran sama, Fizo mengakui yakin kelahiran setiap anak membawa rezeki buat mereka sekeluarga.
“Walau ada rintangan di waktu kesempitan, kami kekal percaya akan ada sinar rezeki setiap cahaya mata bagi meneruskan kehidupan di dunia ini.
“Alhamdulillah, kami bersyukur kepadaMu kerana kami tahu rezeki bukan dilimpah dalam bentuk kekayaan sahaja.
“Namun, juga disimbah dalam bentuk kesihatan, cahaya mata dan ketenangan,” katanya.
Fizo dan Fazeera yang mendirikan rumah tangga pada 21 Oktober 2021 mempunyai dua anak perempuan iaitu Wan Khaleeda, 3, dan Wan Umaira, 2.
Aktor terbabit sebelum ini pernah berkahwin dengan ahli perniagaan, Mawar Karim namun bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Hulu Langat pada 10 Julai 2019.
Menerusi perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Wan Maryam, 7. – KOSMO! ONLINE