PETALING JAYA – Pelakon Tiz Zaqyah menggesa pempengaruh Imran Bard membuat permohonan maaf secara beradab kepada Ellie Suriaty selepas didakwa mengaibkan imej aktres tersebut dalam sebuah konten TikTok baru-baru ini.
Menurut Tiz, dia tidak bersetuju dengan cara Imran menghasilkan konten media sosial selain meminta permohonan maaf tersebut dilakukan dengan ikhlas.
“Imran, awak telah menyinggung perasaan orang lain dan cara terbaik ialah meminta maaf dengan cara yang sepatutnya, ikhlas dan beradab.
“Saya kurang bersetuju dengan cara awak meminta maaf sebelum ini.
“Awak ada perjalanan yang masih panjang, tetapi jika begini sikapnya maaf tiada ubat. Semoga dipermudahkan untuk mak awak yang sedang sakit juga,” katanya dalam sebuah hantaran Instagram Story.
Dalam pada itu, Tiz juga menyifatkan Ellie sebagai individu yang sangat baik selain sering memberi semangat serta motivasi kepada individu sekeliling.
“Saya adalah individu yang sangat kenal diri sendiri dan tidak mudah untuk menyayangi serta mempercayai orang lain.
“Namun Ellie adalah individu yang cantik secara dalaman, ikhlas dan sering memberi kata-kata semangat,” ujarnya.
Selain Tiz, beberapa selebriti lain seperti Rita Rudaini dan Datuk Aaron Aziz turut meluahkan pandangan mengenai kemelut yang berlaku antara Ellie dan Imran.
Sebelum ini, Ellie dalam satu sidang akhbar menuntut permohonan maaf daripada ibu bapa Imran yang didakwa mencalarkan namanya menerusi dua hantaran video dalam TikTok dengan kandungan berunsur fitnah.
Ellie kecewa apabila Imran memperlekeh reputasi yang dibinanya lebih tiga dekad menerusi konten dikongsikan.
Dalam kandungan video parodi berkenaan, pempengaruh berusia 23 tahun itu berseloroh seolah-olah menjadi juri sebuah pertandingan nyanyian dan menyebut nama Ellie kononnya mempunyai kaitan dengan bahan terlarang.
Sebelum ini, pelakon juga pengarah itu menuntut permohonan maaf daripada ibu bapa Imran yang didakwa mencalarkan namanya menerusi dua hantaran video dalam TikTok dengan kandungan berunsur fitnah. – KOSMO! ONLINE