LUMUT – Keluhan nelayan di Pantai Remis dan Bagan Panchor dekat sini yang mendakwa diganggu lanun dari Indonesia lebih tepat dikategorikan sebagai kes rompakan atau pemerasan di laut.
Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kekeliruan dalam penggunaan istilah boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan komuniti maritim dan masyarakat umum.
“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menasihatkan semua vesel nelayan tempatan (VNT) agar sentiasa mematuhi peraturan dengan menjalankan aktiviti perikanan di perairan Malaysia sahaja.
“Pada masa sama, kami menggesa para nelayan untuk menyalurkan maklumat yang tepat dan segera kepada pihak kami bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dilakukan dengan lebih berkesan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya telah mengadakan sesi dialog bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis, Wong May Ing serta wakil-wakil nelayan tempatan di Pejabat Maritim Negeri Perak semalam.
Katanya, sesi dialog itu bertujuan untuk mencari penyelesaian terbaik terhadap isu penahanan dan pemerasan yang dihadapi oleh VNT di perairan negara.
Mohamad Shukri berkata, perbincangan itu turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara nelayan dan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan serta kelangsungan aktiviti perikanan dapat dipelihara.
Beliau berkata, mangsa pemerasan di laut disarankan untuk merekodkan maklumat lengkap seperti butiran kejadian, bukti visual sekiranya ada serta jumlah wang dibayar kepada pihak yang melakukan pemerasan.
“Maklumat ini amat penting bagi membantu siasatan dan membolehkan tindakan susulan yang lebih berkesan diambil,” katanya.
Beliau berkata, APMM turut mengakui cabaran yang dihadapi oleh komuniti nelayan, namun menegaskan bahawa penyelesaian terbaik hanya dapat dicapai melalui kerjasama penuh antara kedua-dua pihak.
“Langkah proaktif dan kesedaran yang tinggi amat diperlukan bagi membanteras pencerobohan serta pemerasan di laut agar tidak terus berlarutan sehingga mengancam keselamatan pemilik bot dan keluarga mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE