MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui tidak kesal dengan kekalahan 0-2 pasukannya ketika berdepan Liverpool pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Etihad awal pagi semalam.
Kekalahan tersebut menyaksikan City ketinggalan 20 mata di belakang Liverpool selaku pendahulu, malah The Reds memiliki kelebihan 11 mata berbanding pencabar terdekat, Arsenal ketika ini.
Guardiola mengakui gembira melihat persembahan yang dipamerkan oleh pasukannya dan percaya mereka mempunyai masa depan yang cerah biarpun terpaksa menanggung kekalahan kelapan musim ini.
Menurutnya, prestasi cemerlang dipamerkan pemain muda seperti Jeremy Doku dan Savinho merupakan isyarat penting bahawa City memiliki para pemain pelapis yang mampu mengembalikan kegemilangan pasukan pada musim akan datang.
“Ia adalah perlawanan yang baik, babak pertama sangat mencabar dengan permainan terbuka dan babak kedua mereka terpaksa bertahan dengan lebih baik. Mereka sentiasa berbahaya dan kami sukar untuk mengawal.
“Saya fikir Doku dan Savinho berjaya mempamerkan aksi cemerlang. Seluruh pasukan juga telah memberikan sepenuhnya dan saya langsung tidak kesal dengan kekalahan ini,” kata Guardiola.
Dalam pada itu, Guardiola mendedahkan tidak dapat memberikan maklumat tepat mengenai pemulihan penggempur utamanya, Erling Haaland yang terlepas aksi menentang Liverpool ekoran kecederaan.
“Saya tidak tahu. Saya enggan mengatakan bahawa ketiadaan Erling menjadi punca kekalahan kami kali ini, ia tidak adil untuk para pemain lain,” jelasnya. – AGENSI