fbpx

DUN Selangor: Gombak paling tinggi kes keganasan rumah tangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Gombak menjadi daerah paling tinggi merekodkan kes keganasan rumah tangga pada tahun lalu.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor berkata, berdasarkan laporan dikeluarkan oleh Polis Diraja
Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 238 kes dilaporkan di daerah atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) itu diikuti Ampang Jaya (144 kes), Petaling Jaya (122 kes), Klang Selatan (112 kes) dan Kajang (104 kes).

Katanya, IPD Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah paling rendah dengan tiga kes.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 1300 kes direkodkan tahun lalu. Pecahannya pula keganasan terhadap wanita sebanyak 871 kes, lelaki (286 kes) manakala kanak-kanak sejumlah 143 kes.

“Kerajaan Negeri dalam usaha meningkatkan kesedaran melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS) dalam perancangan untuk memperluas program kesedaran awam tentang keganasan rumah tangga menerusi pelaksanaan Kempen Menentang Keganasan Berasaskan Gender tahun ini, ” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mariam Abdul Rashid (PH – Meru) melibatkan keganasan rumah tangga di Selangor.

Kata Anfaal yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer itu, kempen itu akan dilaksanakan dalam format Siri Jelajah ke lima daerah mewakili zon seluruh Selangor dengan kerjasama strategik semua pemegang taruh seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), PDRM dan One Stop Crisis Centre (OSCC), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan semua pemimpin komuniti.

Ujarnya, antara pengisian yang dirancang dalam siri jelajah ini adalah sesi ceramah penerangan, kaunter khidmat guaman secara bergerak, siri latihan bersama petugas kaunter hadapan serta persembahan kreatif bagi meningkatkan kesedaran awam.

“Bagi menambahbaik aspek penilaian keberkesanan kempen ini, WBS melalui Jabatan Strategi dan Dasar akan membangunkan ujian penilaian kefahaman peserta menggunakan kaedah pra dan pasca penilaian.

“Ini untuk melihat tahap kefahaman dan kesedaran masyarakat mengenai kempen -kempen yang dilaksanakan sekaligus dapat membantu untuk manambaik pengisian kempen,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI