KUALA LUMPUR – Sebanyak 18 kes dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) membabitkan orang kenamaan (VIP) direkodkan antara 2018 hingga 2024.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, bilangan tertinggi DNAA direkodkan dalam kalangan VIP sebanyak lima kes pada 2023.
“Tahun 2020 juga sebanyak lima kes, manakala tiga kes pada 2019, dua kes tahun lalu dan 2018 dan satu kes pada 2021.
“Keputusan DNAA itu dimuktamadkan selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai jumlah kes VIP atau VVIP yang diberi keputusan DNAA sejak lima tahun lalu.
Azalina berkata, Peguam Negara mempunyai kuasa untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan selain prosiding di hadapan mahkamah syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.
Menurut beliau, Peguam Negara akan menggunakan budi bicaranya berasaskan keterangan yang diperoleh daripada pihak penguat kuasa, perkembangan dan keterangan baharu yang wujud semasa perbicaraan kes berlangsung.
Jelas beliau, terdapat beberapa kategori orang kenamaan yang disenaraikan antaranya sultan, raja, tuan yang terutama dan kerabat terdekat berdasarkan Pekeliling Ketua Pendaftar Bilangan 1 Tahun 2012-Kes Berprofil tinggi.
Kata beliau, bagi peringkat kedua pula melibatkan menteri Kabinet, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Dewan Diraja atau Majlis Pangkuan Negeri atau apa-apa nama majlis sedemikian digelar dan pemimpin politik lain yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan atau parti politik.
Tambah beliau, peringkat ketiga adalah hakim Mahkamah Persekutuan, hakim Mahkamah Rayuan, hakim Mahkamah Tinggi dan Pesuruhjaya, manakala yang keempat, pegawai dan pegawai kanan kerajaan iaitu dalam kumpulan perkhidmatan pengurusan dan profesional serta ketua jabatan Persekutuan atau negeri dan agensi kerajaan. – KOSMO! ONLINE