fbpx

Bank Rakyat peruntuk dana tambahan RM50 juta pembiayaan BRIEF-i

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramanan (tengah) di Majlis Penyerahan Cek Cura Program Pembiayaan BRIEF- I yang diadakan di Menara Kembar Bank Rakyat, hari ini. -Foto oleh M.FIRDAUS M.JOHARI

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menerusi agensinya, Bank Rakyat mengumumkan peruntukan tambahan RM50 juta bagi program pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i).

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Sri Ramanan Ramakrishnan berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan dana berkenaan sebanyak RM100 juta.

“Langkah ini bertujuan untuk memperkasa usahawan tempatan terutamanya komuniti India bagi membolehkan mereka menambah baik pengurusan perniagaan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Cura Program Pembiayaan BRIEF-i, di sini hari ini.

Tambah beliau, para penerima BRIEF-i juga boleh menikmati konsultasi bimbingan dan kursus latihan percuma bagi mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Bank Rakyat sudah perluaskan konsultasi dan bimbingan percuma untuk dapatkan sijil halal Jakim kepada para penerima BRIEF-i. Terdapat 18 konsultan tersedia dan jumlahnya akan ditambah dari masa ke masa,” ujarnya.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, sambutan menggalakkan orang ramai mencerminkan keberkesanan program BRIEF-i dalam menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini.

“Bank Rakyat berharap dapat terus memberi impak positif kepada ekonomi negara, sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup usahawan tempatan.

“Selain itu, langkah ini juga diharap dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan,” jelasnya.

Terdahulu, Bank Rakyat memperuntukkan RM50 juta untuk program berkenaan dan setakat 21 Februari lalu, BRIEF-i telah meluluskan pembiayaan RM49 juta kepada 512 usahawan PMKS di seluruh negara sejak ia dilancarkan pada Jun 2024.

Untuk maklumat lanjut mengenai program pembiayaan BRIEF-i, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi Bank Rakyat dan QR2E (Quick Response to Entrepreneurs) di www.bankrakyat.com.my dan https://gr2e.bankrakyat.com.my atau kunjungi mana-mana Pusat Perbankan Perniagaan Bank Rakyat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI