PETALING JAYA – “Kalau dia (pasangan) pun sama macam saya nak belajar ‘landing’, mari kita buat sama-sama.”
Demikian kata-kata pelakon Erra Fazira mengharapkan dipertemukan dengan pasangan hidup yang mempunyai sasaran sama.
Selepas dua kali gagal dalam perkahwinan, Erra atau nama asalnya Fazira Wan Chek, 51, belajar untuk mencari seseorang yang lebih tenang dalam perhubungan.
“Biarlah sasaran hidup kita sama iaitu mahukan ‘landing period’ (pengakhiran). Bukannya mencari pasangan yang masih mengejar dunia sangat.
“Kalau boleh kita nak ‘landing’ yang sama, saya pun masih belajar. Saya tidak mengharapkan pasangan yang ada ilmu hebat, tidak.
“Penanda aras untuk lelaki itu cukup sekadar sederhana tetapi mendamaikan,” katanya dalam sebuah audio siar.
Berkongsi lanjut, pelantun lagu Pertemuan itu turut mengimpikan perkahwinan yang terakhir buatnya.
“Siapa sahaja melangkah kaki ke alam rumah tangga, pasti ada impian mahukan inilah (perkahwinan) yang terakhir, terbahagia dan segalanya indah. Begitu juga dengan saya.
“Andai saya melangkah sekali lagi ke gerbang perkahwinan, jumpa pasangan yang tepat. Biarlah ini yang terindah dan membawa hingga ke akhir hayat, itu impian saya.
“Tidak ada orang yang berumah tangga hanya meletakkan sasaran untuk hidup bersama dalam dua tiga tahun. Apa pun macam saya cakap, saya selalu percaya pada aturan Allah,” ujarnya.
Ketika ini, Erra dilaporkan sedang berkawan rapat dengan usahawan dikenai sebagai Ezwan Zain.
Sebelum ini, dia pernah berkahwin dengan penyanyi Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003, namun bercerai sekitar 2006.
Erra bagaimanapun tidak dikurniakan cahaya mata ketika bersama Yusry.
Kemudian, Erra berkahwin buat kali kedua dengan usahawan, Engku Emran pada 25 Oktober 2007, namun mereka disahkan berpisah 18 Februari 2014.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Engku Aleesya yang kini berusia 16 tahun. – KOSMO! ONLINE