fbpx

Along Kubur dituduh edar heroin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAIZ ZAILAN KAMARUDIN ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kluang hari ini.

KLUANG – Seorang lelaki yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan sehingga berlaku aksi dikejar polis sejauh kira-kira lima kilometer di bandar Kluang minggu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Along Kubur atau nama sebenarnya, Faiz Zailan Kamarudin, 41, mengangguk faham namun tiada pengakuan direkodkan sebaik pertuduhan dibacakan dihadapkan Majistret Mustaqim Sukarno.

Tertuduh dituduh mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar dadah jenis heroin seberat 19.30 gram di Lampu Isyarat Pasaraya Kluang Mall pada pukul 9 padi 14 Februari lalu.

Bagaimanapun, Faiz Zailan mengaku salah terhadap dua pertuduhan lain iaitu pada tarikh dan masa sama telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Faiz Zailan turut mengaku salah terhadap pertuduhan pada tarikh dan masa yang sama telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu kenderaan semasa berada dibawah pengaruh minuman memabukkan atau dadah.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman Penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurfara Fazilun Izlyin Ahmad bagaimanapun tidak menawarkan jaminan terhadap kes mengikut Seksyen 39B (1) kerana kes tidak boleh dijamin selain memohon hukuman setimpal keatas dua lagi pertuduhan terhadap tertuduh atas kepentingan awam.

Tertuduh dalam pada itu memohon diringankan hukuman kerana mempunyai dua orang anak yang masih bersekolah, baru mendirikan rumah tangga tahun lepas dan patah kaki kanannya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 29 April sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan laporan kimia bagi pertuduhan pertama.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dikenakan hukuman denda RM3,000 dan penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Manakala untuk pertuduhan ketiga, tertuduh dikenakan hukuman penjara 10 bulan dari tarikh ditangkap dan denda RM10,000, jika gagal membayar denda hendaklah dipenjara 12 bulan lagi serta lesen memandu dilucut hak selama lima tahun. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI