GEORGE TOWN – Malaysia akan membawa lima usul untuk dibincangkan pada sesi Pemukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) di sini, esok.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara perkara penting yang akan dibentangkan ialah berkenaan isu keselamatan yang dipengaruhi penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber di rantau Asia Tenggara.
Katanya, penggunaan AI banyak membantu dalam memastikan pertahanan dan keselamatan negara, namun dikhuatiri penyalahgunaan AI boleh membawa ancaman.
“Atas dasar itu, Malaysia merasakan perlu untuk kita bawa perkara ini dibincang secara bersama supaya kita boleh lihat apa jurang antara setiap negara,” katanya selepas sesi ‘walkabout’ dan lawatan sempena ADMM di sini hari ini.
ADMM berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Hotel Shangri-La Rasa Sayang, Batu Feringghi di sini.
Menurutnya, antara isu lain yang akan diketengahkan ialah keperluan untuk memperkukuh keselamatan maritim dalam kalangan ASEAN.
”Kita pun tahu cabaran maritim termasuk di Laut China Selatan di mana adanya tuntutan-tuntutan bertindih antara beberapa negara.
“Maka adalah penting untuk kita pastikan adanya kebebasan untuk laluan di laut tersebut, perlunya untuk kita mengekalkan atau menjunjung undang-undang antarabangsa dalam menggunakan laluan-laluan dalam rantau kita dan sebagainya,” katanya. – KOSMO !ONLINE