PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke mesyuarat bersama pengurusan kanan Istana Negara pada hari ini.
Menerusi hantaran di akaun Facebook rasmi Seri Paduka Baginda, mesyuarat selama hampir dua jam itu antara lain membincangkan hal ehwal pentadbiran dan pengurusan Istana Negara.
Seri Paduka Baginda turut dipersembahkan taklimat mengenai perancangan gerak kerja selain majlis-majlis rasmi akan datang.
Sabtu lalu, Sultan Ibrahim selamat tiba ke tanah air selepas menjalani rawatan di luar negara.
Seri Paduka Baginda dilaporkan selamat menjalani rawatan konservatif bagi kesakitan ‘musculoskeletal’ (otot dan tulang).
Kesakitan itu berlaku akibat latihan ketenteraan intensif serta gaya hidup aktif Seri Paduka Baginda yang gemar bersukan sewaktu muda terutama bermain polo. – KOSMO! ONLINE