fbpx

116 pelatih kumpulan pertama PLKN 3.0 tamat latihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seramai 116 orang pelatih ketika bergambar selepas Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 1/25 di Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur hari ini. -Foto oleh ISKANDAR ISHAK/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seramai 116 pelatih bagi kumpulan pertama Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 berjaya menamatkan latihan selama 45 hari di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, di sini, hari ini.

Difahamkan, pecahan pelatih melibatkan 73 lelaki dan 43 wanita berusia antara 18 hingga 27 tahun.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, PLKN 3.0 kali ini tidak hanya memberi tumpuan kepada latihan ketenteraan, tetapi juga menekankan aspek kenegaraan serta pembangunan kemahiran yang relevan dengan cabaran semasa.

“Program PLKN 3.0 menggunakan modul latihan yang mengintegrasikan 70 peratus Latihan Asas Ketenteraan dan 30 peratus Komponen Kenegaraan.

“Ini adalah satu usaha penting dalam membentuk generasi muda dengan memberikan mereka kemahiran insaniah, keusahawanan, dan teknologi melalui modul latihan yang dijalankan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Khidmat Negara 3.0 Siri 1/2025 di sini, hari ini.

Tambahnya, PLKN 3.0 juga memberi penekanan kepada pembentukan semangat patriotisme dan jati diri di kalangan generasi muda.

Sementara itu, Adly berkata, siri kedua PLKN 3.0 bakal dijalankan pada 11 Mei hingga 24 Jun, manakala siri ketiga bermula 7 September hingga 21 Oktober 2025 melibatkan 500 pelatih.

Jelasnya, lokasi terlibat adalah Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di sini dan Kem Rejimen 505 Askar Wataniah di Pekan, Pahang.

“Pengambilan pelatih untuk siri kedua dan ketiga mengambil kira beberapa faktor. Untuk yang sukarela masih terbuka,” katanya.

Mengulas lanjut, Adly berkata, terdapat beberapa aspek yang boleh diperhalusi bagi program PLKN akan datang, terutamanya dari segi infrastruktur dan modul latihan.

“Mengenai keperluan kelengkapan, kami memastikan bahawa semua keperluan, termasuk baju seragam mencukupi untuk pengambilan seterusnya.

“Kami akan menguruskan penyediaan kelengkapan ini dengan baik supaya tiada masalah timbul dalam penyediaan keperluan untuk para pelatih,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI