UDA Holdings Berhad (UDA) terus mempergiat usaha memperkasa komuniti setempat khususnya golongan bumiputera.
Pengerusi UDA, Tan Sri Mohd. Annuar Zaini berkata, usaha berkenaan merangkumi aspek pendidikan digital, pembudayaan kelestarian, pembangunan sukan dan program komuniti dengan masyarakat di sekitar wilayah pembangunan perniagaan UDA.
Beliau berkata, pemantapan pendidikan digital merupakan inisiatif UDA dalam menyokong pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital untuk melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing.
“Komitmen ini sebagai bukti UDA yang juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyambut seruan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menambah baik ekosistem pendidikan tempatan menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya di sini baru-baru ini.
Menerusi inisiatif itu, beliau berkata, UDA menyalurkan 13 unit televisyen pintar (Smart TV) bernilai RM22,100 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Dihilir Ekram, Ipoh pada Khamis lalu.
Sekolah tersebut merupakan sekolah angkat Mohd. Annuar di bawah program Satu Pemimpin, Satu Kampung (Santuni Madani) yang mana beliau pernah menjadi murid sekolah tersebut antara 1962-1964.
Kesemua Smart TV berukuran 55 inci itu ditempatkan di 10 bilik darjah merangkumi kelas prasekolah, kelas aliran perdana, kelas Program Pendidikan Khas Integrasi dan tiga bilik khas termasuk kelas Program Pemulihan Khas, bilik mesyuarat dan pusat sumber sekolah berkenaan.
Sementara itu, Mohd. Annuar berkata, pembudayaan kelestarian pula bertujuan memupuk amalan kemampanan dan kesedaran alam sekitar serta pembangunan kendiri dalam kalangan komuniti khususnya di peringkat sekolah.
Justeru, beliau berkata, UDA dengan kerjasama Jabatan Pertanian Perak sedang membangunkan projek tanaman hidroponik di sekolah tersebut.
“Program pertanian bandar seumpama ini diperkenalkan untuk menyemai kesedaran dalam kalangan pelajar tentang pentingnya subjek keterjaminan makanan.
“Selain itu, ia juga bermatlamat membimbing pelajar menanam minat untuk membudayakan diri dan terlibat dalam kegiatan penghasilan makanan sekali gus menyahut seruan negara untuk meningkatkan pengeluaran makanan dan meminimumkan import bahan makanan,” katanya.
Beliau berkata, usaha itu juga selari dengan komitmen UDA dalam mendukung aspirasi kelestarian dengan memfokuskan aktiviti sosial dan ekonomi komuniti setempat.
Menurutnya, ia selaras dengan prinsip penjenamaan baharu UDA iaitu L.I.F.E. yang bermaksud Legacy (Legasi), Integrated (Integrasi), Finesse (Ketelitian) dan Enrich (Memperkasa).
Mohd. Annuar berkata, bagi menyemarakkan pembangunan sukan tempatan, UDA juga akan memberi tumpuan kepada penyediaan peluang dan platform bagi atlet muda berbakat yang kurang mempunyai kemampuan kewangan.
“Satu program sedang dirangka dengan kerjasama Jabatan Pendidikan, Jabatan Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negeri, Yayasan Perak dan Lite Superbowl JB9 untuk mengenal pasti bakat dan memperkasakan pembangunan sukan boling dalam kalangan murid asnaf di sekitar Ipoh.
“Langkah ini juga merupakan tanda sokongan UDA kepada usahawan tempatan yang berniaga di salah sebuah kompleks beli-belah milikan UDA iaitu Angsana Ipoh Mall seterusnya merancakkan lagi ekonomi setempat dan industri sukan,” katanya.
Tambah beliau, UDA akan terus memperkukuh komitmen CSR UDA Cares menerusi program-program komuniti yang berimpak tinggi sama ada menerusi sumbangan zakat wakalah mahupun sumbangan korporat.
Sehingga kini, seramai 502 pelajar sudah dibantu menerusi Program UDA Cares; Back To School 2025 di Johor Bahru, Johor; Sandakan, Sabah dan Lanchang, Pahang baru-baru ini. -KOSMO! ONLINE