fbpx

Titah Adendum: Permohonan perintah larangan bersuara didengar 28 April

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 28 April ini bagi pendengaran permohonan perintah larangan bersuara oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) berkaitan kewujudan dokumen tambahan yang membolehkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan di rumah.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz telah menetapkan tarikh itu dengan pendengaran permohonan dijalankan pada pukul 2.30 petang.

“Mahkamah memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan lisan sebelum atau pada 11 April dan hujahan balasan sebelum atau pada 23 April,” kata hakim itu.

Pada prosiding itu, AGC diwakili Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan dan Peguam Persekutuan Ainna Sherina Saipol Amin, manakala peguam Tan Sri Mohamed Shafee Abdullah dan Muhammad Farhan Muhammad Shafee mewakili Najib.

Terdahulu, AGC telah memfailkan permohonan perintah larangan bersuara atas alasan kes berkenaan menyentuh isu sensitif.

Pada 20 Januari lalu, AGC telah memfailkan secara rasmi permohonan larangan bersuara (gag order) bagi menghalang mana-mana pihak termasuk media untuk memperkatakan mengenai Titah Adendum yang menyentuh mengenai penahanan Najib di rumahnya sehingga habis hukuman penjara.

Timbalan Ketua Bahagian Sivil AGC, Shamsul Bolhassan ketika dihubungi media memaklumkan permojonan itu telah difailkan pada pukul 7.45 malam melalui sistem e-Filing.

Sebelum ini, Shamsul yang mewakili kerajaan dan beberapa responden lain dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan Najib  memaklumkan pihaknya akan berbuat demikian dalam masa terdekat.

Selain AGC, turut dinamakan sebagai responden ialah Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan Dan Putrajaya dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi).

Ujar Shamsul, permohonan tersebut dibuat kerana ia membabitkan isu sensitif iaitu raja, agama dan kaum (3R).

Walaupun terdapat beberapa pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang mempersoalkan perkara berkenaan, Shamsul memberitahu, permohonan tersebut akan diteruskan sehingga terdapat arahan lain yang menghalangnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI