JOHOR BAHRU – Tiada taska yang dahulunya dikendalikan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) bagi menempatkan anak-anak pengikut pertubuhan itu masih beroperasi ketika ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, setakat ini terdapat seramai 13 anak bekas anggota pertubuhan itu yang masih berada bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Tiada sebarang taska berkaitan GISBH yang masih beroperasi ketika ini, tiada. Sebaliknya hanya 13 anak-anak berusia bawah 18 tahun yang telah diselamatkan masih berada bawah jagaan kita.
“Mereka semua ditempatkan di rumah perlindungan JKM dan bersekolah seperti kanak-kanak biasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 Peringkat Zon Selatan di Bandar Dato’ Onn, di sini hari ini.
Tambah Noraini, ada antara 13 kanak-kanak itu telah diserahkan kepada penjaga yang merupakan ahli keluarga namun dikembalikan untuk kekal bawah jagaan JKM.
Sementara itu, dalam ucapannya beliau memberitahu remaja perempuan di negara ini berdepan risiko menghidap masalah kesihatan mental sehingga dua kali ganda berbanding remaja lelaki.
“Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 merekodkan kira-kira 4.6 peratus atau satu juta remaja yang berusia 15 tahun ke atas di negara ini mengalami kemurungan,” katanya. – KOSMO! ONLINE