PENAMAT cukup sempurna buat Pasukan Hoki Terengganu (THT) apabila mengakhiri kempen Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini dengan gelaran trebel selepas menjulang trofi pada saingan Piala TNB.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil malam kelmarin, pasukan dari Pantai Timur itu menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-0 menerusi shootout penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Jurulatih THT, Mohd. Harfizi Baharom mengakui bangga selain memuji aksi ditampilkan barisan pemainnya apabila langsung tidak berputus asa sepanjang perlawanan bagi memburu gol kemenangan.
Lebih manis, kemenangan itu menyaksikan THT melakar sejarah tersendiri apabila berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang saingan musim ini, termasuk memenangi kesemua sembilan aksi liga.
“Saya bersyukur dan bangga dengan pemain-pemain hari ini (kelmarin) kerana mereka bukan sahaja menamatkan saingan tanpa kalah, malah turut bangkit untuk memenangi aksi final menerusi shootout.
“Memang tidak jangka (trebel) tahun ini tetapi Alhamdulillah dan saya berikan kredit kepada semua pemain atas usaha mereka. Saya fikir ini adalah hasil daripada kerja keras mereka dari awal hingga akhir,” katanya.
Pada perlawanan tersebut, TNB terlebih dahulu berada 1-0 di depan menerusi jaringan bintang import dari Korea Selatan, Jang Jong-hyun sebelum kembali disamakan Muhammad Arif Syafie Ishak.
Memasuki aksi shootout, penjaga gol THT, Muhammad Hafizuddin Othman menjadi wira pasukan itu apabila menafikan percubaan daripada pemain-pemain TNB.