fbpx

Selangor kekal larang imam tarawih luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SHAH ALAM – Larangan atau sekatan menggunakan khidmat kepada imam import dari luar negara kekal bagi pelaksanaan solat tarawih di Masjid dan surau sepanjang Ramadan di Selangor.

Ini adalah tahun ke-10 larangan itu dikuat kuasakan sejak 2015 seperti yang telah ditetapkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Exco Hal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Muhammad Fahmi Ngah berkata, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengarahkan imam-imam tempatan diberikan keutamaan menjadi pemimpin solat tarawih di semua masjid dan surau di negeri ini.

“Kita cadangkan supaya imam-imam ini diambil daripada penuntut tahfiz tempatan yang ada di Selangor. Imam luar tidak dibenarkan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan masjid dan surau di Terengganu dan Kelantan tidak dibenarkan menggunakan imam dari luar negara untuk solat tarawih.

Mohamad Fahmi turut mengingatkan semua masjid dan surau agar hanya menjemput penceramah yang merupakan pemegang tauliah di Selangor dalam memberikan sebarang takzirah atau ceramah sepanjang Ramadan ini.

Jelasnya, orang ramai disarankan membuat semakan pada pautan MAIS sekiranya penceramah tersebut diragui tauliahnya.

“Maknanya, kalau pergi masjid dan ada orang beri ceramah, kita minta nama dia (penceramah) dan semak di pangkalan data e-tauliah MAIS.

“Kalau ada sebarang kecurangan berlaku boleh laporkannya kepada saya, tiada masalah. Tetapi, kita harapkan semua pihak mematuhi peraturan yang ada terutama bulan Ramadan dan jangan politikkan isu yang tidak sepatutnya,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, program Ihya Ramadan bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah akan diteruskan seperti tahun sebelum ini.

“Tahun, ada lebih kurang 15 hari berbuka puasa dengan Tuanku dengan antaranya juga Tuanku akan memberikan sumbangan dan merasmikan masjid.

“Selain itu, pejabat saya sendiri akan buat program ‘Selangor Beriktikaf’ dengan kerjasama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dengan kita akan pilih antara 20 hingga 30 masjid. Pada satu malam daripada malam terakhir, kita wujudkan program iktikaf daripada subuh hingga ke isyak,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI