fbpx

Sebanyak 86 syarikat subsidiari agensi Persekutuan alami kerugian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 131 atau 60.4 peratus daripada 217 syarikat subsidiari agensi Persekutuan mencatatkan keuntungan berjumlah RM4.087 bilion, manakala baki 86 atau 39.6 peratus syarikat mengalami kerugian RM2.810 bilion.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam satu kenyataan media berkata, hanya 81 atau 37.3 peratus daripada 217 syarikat subsidiari itu telah membayar dividen RM2.829 bilion kepada 32 agensi Persekutuan pada tahun 2023.

“Daripada jumlah tersebut, 14 atau 17.3 peratus telah membayar dividen berjumlah RM1.432 bilion kepada 10 agensi Persekutuan walaupun mengalami kerugian pada tahun semasa,” katanya mengulas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan laporan itu, syarikat subsidari di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan kerugian paling tinggi membabitkan nilai RM0.94 bilion.

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mencatatkan kerugian RM0.72 bilion, manakala empat syarikat subsidiari Lembaga Tabung Haji (TH) kerugian RM0.69 bilion.

Dua syarikat subsidiari Felda pula merekodkan kerugian RM0.17 bilion, manakala lapan syarikat di bawah Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mencatatkan kesusutan RM0.14 bilion.

LKAN 1/2025 mengesyorkan agensi Persekutuan mengkaji semula hala tuju dan pelan perniagaan syarikat subsidiari yang mengalami kerugian selama tiga tahun berturut-turut atsu tidak memberi pulangan sewajarnya.

Laporan itu turut menyarankan agensi Persekutuan menilai dan memberi pertimbangan untuk menutup syarikat subsidiari berstatus dorman atau tidak aktif melebihi lima tahun supaya tidak membebankan entiti masing-masing.

Terdahulu, Wan Suraya memaklumkan, sebanyak 59 agensi Persekutuan mempunyai 217 syarikat subsidiari dengan pelaburan berjumlah RM65.145 bilion.

Kata beliau, daripada jumlah tersebut, 191 syarikat subsidiari berstatus aktif, manakala 26 berstatus dorman dan tiga daripada 217 syarikat subsidiari merupakan syarikat baharu yang ditubuhkan dengan nilai pelaburan sejumlah RM85.96 juta.

Beliau berkata, pada tahun 2023, sebanyak 39 agensi Persekutuan memberikan pendahuluan dan pinjaman kepada 94 syarikat subsidiari berjumlah RM16.849 bilion.

Katanya, ia terdiri daripada pendahuluan kepada 81 syarikat subsidiari berjumlah RM14.105 bilion dan pinjaman kepada 13 syarikat subsidiari berjumlah RM2.744 bilion.

“Lebihan semasa selepas cukai dan zakat berjumlah RM73.886 bilion telah direkodkan oleh 97 agensi, manakala 45 agensi mengalami kurangan semasa berjumlah RM2.011 bilion pada tahun 2023,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI